3.30.2011
MALAYSIA AKAN KEKERINGAN AIR PADA 2020????
AIR ITU RAHMAT DARI ALLAH
AIR atau istilah sains H2O merupakan sebatian kimia yang berada dalam bentuk cecair pada tekanan biasa dan pada suhu bilik. Bahkan, ia meliputi 70 peratus daripada permukaan bumi.
Biarpun peratusannya dalam julat yang besar, dunia sebenarnya mempunyai bekalan air bersih yang terhad di permukaan bumi, atmosfera dan dalam tanah.
Masyarakat kadangkala tersalah anggap bahawa lautan adalah sumber air sedia ada tetapi mereka tidak memahami jumlah tenaga yang diperlukan untuk menukar air masin kepada air bersih masih lagi sesuatu yang sukar dilakukan.
Di Malaysia, rakyat sepatutnya berasa bertuah kerana kita mempunyai sumber air tawar yang banyak memandangkan kedudukan negara di garisan khatulistiwa.
Malah, kita turut dikurniakan hujan sepanjang tahun dengan jumlah lebih daripada 2,000 milimeter (mm) manakala bahagian pantai timur sebanyak 5,000 mm setahun.
Dalam pada itu, sungai di negara ini membekalkan kira-kira 97 peratus bekalan air mentah yang diperlukan untuk pertanian, penggunaan domestik dan industri.
Punca air tawar lain seperti tasik, dataran banjir serta muara sungai menyediakan pelbagai sumber dan keperluan kepada manusia, haiwan dan tumbuhan.
Namun, semua itu tidak menjamin bekalan air bersih di negara ini kekal buat selama-lamanya kerana sumber keperluan bagi kegunaan manusia dianggarkan semakin berkurangan akibat pencemaran dan permintaan yang semakin meningkat.
Malah, krisis air bersih menyebabkan manusia bersikap tamak dan mementingkan diri pada masa akan datang sekiranya isu-isu itu tidak ditangani dengan cermat.
Justeru, bagi melahirkan kesedaran secara berterusan dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dengan kerjasama Coca-Cola Malaysia menganjurkan WATER! 2011 sempena Hari Air Sedunia baru-baru ini.
Persoalan paling hangat sudah tentunya, adakah sumber air bersih bakal habis pada tahun 2020? Persoalan itu dibincangkan dan mendapat pelbagai reaksi peserta yang disertai pelbagai negara.
Menurut Presiden MNS, Profesor Maketab Mohamed, teka-teki berkenaan isu tersebut seharusnya ditujukan kembali kepada masyarakat bagaimana kaedah menguruskan air secara efektif.
Mari kita sama-sama menggunakan air dengan berhemah dan berjimat cermat...
SOURCE | Kosmo!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


0 comments:
Post a Comment